Qistina.com

Wednesday, January 05, 2005

Tsunami: Bencana Alam atau Tanda Kebesaran

TENTERA-TENTERA ALLAH

(Allah berfirman):
Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan dan belalang, dan kutu dan katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.
(7:133)

KEHANCURAN UMAT TERDAHULU KERANA DOSA MEREKA SENDIRI
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
(6:6)
Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.
(17:17)
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.
(18:59)

KEBINASAAN DATANG PADA WAKTU YANG TIDAK DISANGKA
Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari.
(7:4)

KEBINASAAN UNTUK MEREKA YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT ALLAH
(Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.
(8:54)

KENI’MATAN TIDAK SEMESTINYA TANDA SAYANG
Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.
(19:74)

BALA DATANG SEPANTAS KILAT TIDAK TERDUGA
Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.
(19:98)

PENGAJARAN KEJADIAN YANG BERLAKU UNTUK YANG BERAKAL
Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: Berapa banyak Kami telah binasakan dari kaum-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.
(20:128)

ANCAMAN KEBINASAAN KEPADA YANG MELAMPAUI BATAS
Kemudian Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan sesiapa yang Kami kehendaki dan (sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang melampaui batas.
(21:9)
Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya.
(21:11)

KEMEWAHAN UNTUK DISYUKURI BUKAN MAKSIAT

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.
(17:16)

PENDUSTA AYAT-AYAT ALLAH AKAN RUGI DUA KALI
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).
(7:147)

KEDATANGAN PARA NABI MERUPAKAN PEMBERI AMARAN DAN PEMBAWA BERITA GEMBIRA
Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(4:165)

BERTAUBAT SELEPAS TERLANJUR DIJANJIKAN AMPUNAN
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(4:110)

WAJIB TAAT PEMIMPIN PADA PERKARA SELAIN MAKSIAT
Hadis Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya
(Muslim)

BERTAUBAT DENGAN MEMPERBAIKI ‘AMALAN
Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(2:160)

SENTIASA BERDOA MEMOHON BANTUAN DAN PERTOLONGAN
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(2:128)

ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA BIJAKSANA
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(4:17)

Tuesday, January 04, 2005

Tanggungjawab lelaki terhadap wanita

Mengenang kembali peristiwa di Arafah, pada tanggal 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah iaitu sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w, salah satu wasiat baginda yang disampaikan melalui khutbah Wida' kepada sekalian umat Islam, iaitu agar kita mengawasi dan memelihara kaum wanita sebagai satu amanah. Tugas dan tanggungjawab ini, ditujukan khusus kepada kaum lelaki yang berperanan sebagai suami, bapa, abang atau adik dan umumnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Ini dijelaskan sebagaimana petikan sabda baginda s.a.w yang bermaksud:
"Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah."
(R. Muslim)

Asas kejadian kaum lelaki, dikurniakan oleh Allah dengan kekuatan fizikal, mempunyai pemikiran yang matang dan beberapa kelebihan lain. Sebaliknya kaum wanita diciptakan dengan sifat yang lemah lembut, pemalu dan tidak agresif. Dari mereka lebih banyak dipengaruhi emosi dan sebagainya. Maka sewajarnya kaum lelaki diberi tugas dan tanggungjawab memikul amanah menjadi ketua atau pemimpin yang mengawal serta memberi perlindungan kepada kaum wanita.

Firman Allah:

Yang bermaksud:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.
(Surah an-Nisa': 34)

Sebagai ketua dalam negara, pemimpin dalam masyarakat, suami kepada isteri, bapa kepada anak-anak atau sebagainya, kaum lelaki seharusnya memahami hak-hak serta tuntutan kaum wanita dan sepatutnya menjadi kewajipan bagi kaum lelaki memperjuang serta membela nasib kaum wanita apabila mereka teraniaya. Sirah Rasulullah s.a.w telah membuktikan bahawa baginda merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Baginda bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan baginda telah berjaya membebaskan kaum wanita dari cengkaman adat jahiliyah serta meletakkan kedudukan mereka ke suatu taraf yang begitu mulia.

Walaupun Islam telah mengangkat serta mengiktiraf kedudukan wanita, namun masih terdapat sesetengah pihak yang memandang remeh akan hal ini dan menjadikan kaum wanita mangsa diskriminasi. Pandangan kaum wanita yang menyentuh kepentingan diri mereka sendiri kadang kala tidak begitu diambil perhatian. Ini menyebabkan hak atau kepentingan mereka terhakis. setiap keputusan, dasar, peraturan atau undang-undang yang hendak diperkenalkan lebih diasaskan kepada fahaman dan kacamata lelaki tanpa memikirkan implikasi yang bakal menimpa kaum wanita. Jika keadaan ini yang berlaku, maka sudah tentu kaum wanita terus teraniaya dan mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Samada kita sedari ataupun tidak, sejak dahulu lagi terdapat segelintir manusia yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan kaum Hawa dengan mengeksploitasi rupa paras mereka untuk hiburan yang melalaikan dan melayan hawa nafsu semata-mata. Di samping itu juga, ada segelintir wanita yang merelakan diri mereka dieksploitasi dan menjadi bahan iklan yang mengaibkan. Keadaan ini pula akan membuka peluang lelaki-lelaki yang buas, mencemar serta meragut kehormatan seorang wanita.

Saban hari kita mendengar berita penganiayaan dan keganasan terhadap kaum wanita. Dan jika kita perhatikan juga, penganiayaan terhadap kaum wanita ini berlaku di mana-mana. Banyak kes-kes jenayah kekeluargaan yang berlaku seperti penderaan, perceraian, pengabaian nafkah dan sebagainya. Bahkan lebih menakutkan lagi, mutakhir ini, begitu banyak kes sumbang mahram yang dilaporkan yang mana kesemua mangsa sudah tentu adalah terdiri daripada wanita. Keadaan ini terjadi adalah disebabkan kaum lelaki tidak tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Hati mereka jauh daripada mengingati Allah dan tiada kesedaran dalam memikul amanah. Jenis manusia inilah yang menjadi perosak kepada kaum wanita dan masyarakat seluruhnya.

Punca permasalahan ini berlaku adalah disebabkan oleh penganiayaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kewajipan seorang lelaki, selain memelihara dan melindungi hak-hak kaum wanita, ia juga berkewajipan membimbing kaum wanita yang lebih banyak dipengaruhi oleh emosi dan tekanan perasaan. Sebuah hadis yang menjelaskan tentang kewajipan membimbing kaum wanita:

Maksudnya:
"Sesungguhnya seorang wanita itu diumpamakan seperti tulang rusuk yang bengkok. Apabila engkau berkeras (hendak meluruskannya), ia akan patah, dan sekiranya engkau membiarkannya, maka ia akan terus bengkok."
(R. Muslim)

Dalam mendidik wanita, kita tidak boleh mendidik mereka dengan cara yang terlalu keras, kerana ia tidak sesuai dengan fitrah semulajadinya yang lemah lembut, kerana ini tidak akan memberi apa-apa kesan pendidikan. sebaik-baiknya, mereka ini dididik dengan cara yang hikmah, tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Pendidikan dengan cara yang penuh hikmah, akan berjaya membentuk wanita-wanita yang solehah. Kita yakin bahawa wanita yang terdidik dengan ilmu di atas landasan iman dan taqwa, mereka ini akan sentiasa menjaga serta menghargai kehormatan dan hak mereka selaras dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Kegagalan kita mendidik kaum wanita adalah punca sebenar mereka melakukan tindakan yang salah.

Kaum lelaki yang fitrah kejadiannya sebagai ketua atau pemimpin, seharusnya berperanan mendominasikan pembentukan peribadi wanita yang mulia dan terpuji, sentiasa memberi dorongan melakukan tindakan yang betul dan dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Justeru tanggungjawab berat yang diamanahkan ini, kaum lelaki perlu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang secukupkan untuk menjadi contoh teladan kepada kaum wanita yang di bawah tanggungannya. Islam sekali-kali melarang keras kaum lelaki daripada menyalahgunakan amanah yang dipertanggungjawabkan ini.

Bagi memenuhi tugas yang dipertanggungjawabkan, iaitu memelihara wanita sebagai amanah, samada isteri kita, anak-anak, adik-beradik, ibu atau wanita yang di bawah jagaan kita, marilah sam-sama kita menjadi pelindung dan pemelihara kaum wanita. Dan kita yakin bahawa hanya orang yang benar-benar beriman sahaja yang mampu memikul amanah ini. Iman yang sempurna akan mendorong kita melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Oleh itu seseorang yang tidak menyempurnakan tanggungjawabnya dalam memelihara hak, bererti tidak sempurna iman mereka.

Begitupun Islam menggariskan bahawa golongan wanita itu dipimpin oleh kaum lelaki, ini tidak bermaksud merendahkan status atau harga diri seorang wanita, bahkan sebenarnya ini adalah menepati 'Sunnatullah' yang kuat menjadi pelindung, dan yang lemah dilindungi. Ukuran yang menentukan tingginya martabat seseorang itu di sisi Allah ialah ukuran amal dan taqwanya sebagaimana dijelaskan firman Allah:

Maksudnya:
Wahai umat manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam PengetahuanNya.
(Surah al-Hujarat: 13)